Abah…

Beberapa tahun lepas, sahabat baik saya, Dr Hadi memberitahu saya betapa beliau terasa sangat kehilangan ayah beliau yang meninggal pada tahun itu, walaupun, beliau sudah berusia hampir 40 tahun pada ketika itu. Saya pada mulanya tidak dapat memahami sepenuhnya perasaan beliau saat itu sambil memikirkan bagaimana seorang anak sedewasa beliau begitu merindui ayahnya. Saya faham kalau seorang itu merasa sedih atas kehilangan seorang ayah tetapi merinduinya ketika dewasa?

Namun, sebaik sahaja saya mendapat tahu perginya abah tercinta menemui Allah swt, 3 tahun lalu, saya merasakan kehilangan yang amat besar dan merinduinya sehingga saat ini, walaupun usia saya sudah mencecah lebih 40 tahun. Baru saya faham perasaan Dr Hadi ketika beliau memberitahu perasaan beliau mengenainya dahulu.
Abah sentiasa ada di sisi ketika saya memerlukan apa jua sokongan, perlindungan dan pertolongan, tanpa rasa jemu dan penat. Ketika saya berusia 4 dan 5 tahun, banyak kemalangan dan kecederaan berlaku pada saya – tangan patah, dahi luka akibat jatuh dalam parit dan lain-lain. Maklah orang yang paling susah hati, maklumlah naluri dan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Tapi abah, beliau sentiasa di sisi, semasa dihantar ke hospital, di hospital dan sebagainya. Masih jelas dalam ingatan saya, kelibat abah sentiasa dalam pemandangan saya yang begitu ketakutan ketika itu.

Begitu juga ketika saya masuk sekolah darjah 1, sedang saya termangu-mangu di hari kedua sekolah semasa rehat jam 3:45 petang, tiba-tiba abah muncul dengan aiskrim di tangan kemudian duduk bersama meneman saya,tenteram rasanya ketika itu. Pada masa saya darjah 5, saya dan adik yang berada dalam darjah 4, mengikut rombongan sekolah ke KL; sampai di persimpangan jalan berhampiran rumah sudah jam 12 tengah malam. Perasaan takut menyelubungi saya memikirkan bagaimana saya akan jalan balik bersama-sama adik saya dalam kegelapan pulang ke rumah lebih kurang 400 meter dari tempat berhentinya bas. Dalam hati sentiasa berdebar, ketika turun sahaja dari bas, abah sudah sedia menunggu dengan lampu suluhnya. Lega hati saya pada ketika itu …. Abah sentiasa di situ memberi satu macam perlindungan …. hari ini, saya amat merinduinya terutama bila saya kesepian atau keseorangan … wajah dan kelibat abah semasa saya kecil yang sentiasa berada di situ, datang kembali dalam ingatan ….

Semasa melalui zaman persekolahan, abah akan sentiasa memastikan keperluan sekolah saya mencukupi. Saya tahu abah bukan orang yang berada dan hidup kami, boleh dikatakan amat sederhana. Keluarga kami tidak ada simpanan atau tabungan. Tapi, ketika saya perlu jelaskan yuran itu atau ini, bayaran buku dan lain-lain, abah sentiasa akan pastikan wang untuk perkara tersebut mencukupi. Tak tahu saya dari mana abah dapat duit terutama sekali pada pertengahan bulan; namun abah tak pernah menceritakan kepada kami adik beradik kepayahan dan kesusahan mendapat wang tersebut. Beliau tidak mahu saya dan adik-adik mengetahui perkara sebenar. Hal sama berlaku ketika saya melanjutkan pelajaran ke luar negara, walaupun ditaja oleh JPA, namun kelengkapan perlu dibeli. Abah bersusah payah keluar membeli belah beg, pakaian sejuk dan lain-lain tanpa gusar akan ketiadaan wang. Tidak pernah abah bayangkan ketiadaan wang walaupun sudah banyak wang dihabiskan untuk saya.

Setelah dewasa dan masuk alam perkahwinan, abah sentiasa memberi sokongan; walaupun kadangkala keputusan yang saya buat tidak bertepatan dengan kehendaknya. Ketika saya berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada usia yang masih muda dan sedang belajar, saya rasa abahlah orangnya yang banyak memberi sokongan walaupun ada segolongan masyarakat sekeliling yang menyuarakan kata-kata yang tidak enak didengar. Sokongan abah berterusan setelah saya berkeluarga dan tak dapat saya bayangkan hidup saya tanpa abah yang sentiasa membantu. Bayangkanlah ketika anak saya Adam terlantar di hospital lebih sebulan kerana kemalangan jalanraya, abahlah antara orang yang akan menemani Adam di hospital bergilir-gilir dengan saya tanpa menunjukkan rasa penat dan lelah dalam usia yang sudah menjangkau lebih 55 tahun.

Abah menunjukkan rasa kasih beliau pada saya dan isteri melalui cucu-cucunya; pantang cucu-cucunya balik ke rumah abah, abahlah orang yang paling sibuk bersama mak di dapur memasak unutk menjamu anak-anak saya yang sedang kuat makan. Abah memang pandai dan suka memasak; dan beliau puas hati kalau melihat cucu-cucunya makan dengan banyak dan nikmat. Saya dan isteri menumpang sama dengan anak-anak di atas kasih saying yang ditunjuk oleh abah. Sehingga saat kematian abah, abah masih ingin menjamu cucu-cucu beliau. Dari katil sakit abah, sehari sebelum meninggal, ketika saya akanke Kuantan dan anak-anak akan pulang ke Seremban dan KL dengan keretapi, abah masih sempat membisikkan agar saya belikan nasi lemak yang memang terkenal sedap di Stesen Keretapi Kluang untuk dibekalkan kepada cucu-cucunya dalam perjalanan pulang. Abah cukup ‘concern’ walaupun di saat-saat akhir hidup beliau …

Seperkara lagi, walau bagaimana saya cuba mengikuti jejak abah sebagai seorang pemimpin masyarakat yang sentiasa perihatin dengan masyarakat setempat dan sentiasa menolong orang-orang di sekeliling tidak kira masa (abah merupakan Pengerusi Surau taman), saya masih tidak dapat menandinginya … abah akan bantu siapa sahaja dalam banyak hal termasuk pembelaan ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim, orang susah dan lain-lain. Penduduk di taman cukup kenal abah dengan sifat peramah dan suka tolong orang. Kadang-kadang saya keluar bersama abah ke pasar dan kedai berhampiran, ada sahaja orang yang menyapa abah; peniaga-peniaga memberi banyak diskaun …. Jauhnya saya dari sifat istimewa abah ini dalam mendampingi masyarakat serta mengambil peduli hal-hal mereka.

Hingga saat ini, setiap hari saya masih teringat abah. Rindu dan kasih kepada abah membuatkan saya sebak tidak kira tempat atau masa; rasa amat bersalah kerana tidak dapat berjasa pada abah sepenuhnya dengan rasa kasih sayang sebagaimana yang dibuktikan oleh abah sepanjang hayatnya. Abah sanggup berkorban, bukan sahaja harta benda, tapi segala-galanya, termasuk perasaan malu, takut dan sebagainya demi memberikan anaknya ini sokongan, perlindungan dan pertolongan dengan tidak menuntut balasan walau sekelumit.

Ketika sendirian, saya gemar mendengar lagu Rabbani, ‘Anak Soleh’, yang akan membawa memori saya kembali mengimbau saat dan ketika ‘dilindungi dan disayangi’ abah, yang membuat saya menangis kerana rasanya tidak dapat membalas jasa beliau sebagaimana lirik lagu Rabbani tersebut “Bahagiakan mereka hingga ke hujung usia … bila sampai waktu ajalnya, anak soleh sebagai harta ”

Abah, ampunkan anakmu ini diatas segala kesalahan dan kesilapan terhadap abah; semoga abah mendapat keampunan dan rahmat Allah; anakmu ini berjanji akan menjadi anak yang soleh dan akan sentiasa berdoa untuk mu! Anakmu ini amat merinduimu abah, dan amat merasai pemergianmu! Semoga Allah memberi perlindungan dari azab kubur dan api neraka sebagaimana abah telah memberi perlindungan dan keamanan kepada anak mu ini, Ameen!
‘Nukilan suami tercinta’

One thought on “Abah…

  1. abah…masih terasa kekesalan anakmu ini disaat terakhir permegianmu.Penyesalan yg tak mungkin diceritakan pada sesiapa pun.
    maaf abah….hanya doa mampu dititip agar abah ‘berbahagia’ di sana.

    Kalau disaat ini abah masih ada, pastinya Lutfil Hadi akan merasai betapa beruntungnya dia mempunyai ‘ABAH’ seperti abah.
    Dia akan seperti kakak-kakaknya yang terlalu rapat dengan abah hingga kadangkala terlupa ibu dan ayah mereka sendiri.
    Kehadiran Lutfil Hadi seperti pengganti kepada kepergian abah.
    Abah tak sempat pun tahu bahawa dia akan menerima cucu lagi.Ketika Lutfil Hadi dua bulan dalam kandungan abah pergi meyahut panggilan Illahi.Meninggalkan semua yang mengasihinya dan memerlukan.

    Abah….andai abah masih ada………

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s