Tazkirah di pagi Jumaat

nature-4Semenjak usia menginjak ke angka 40an, hati sedikit sebanyak mulai terkesan dengan beberapa tanda yang Allah kirimkan sebagai amaran dan peringatan kepada berlalunya masa yang Dia pinjamkan pada kita di dunia ini. Mata sudah mulai memaksa diri membekalkannya dengan cermin mata multifocul, bukan lagi memadai dengan yang biasa2nya. Lutut dan sendi juga sudah mula mengirimkan berita bahwa ‘aku tak bisa diposisi ini lama-lama…’ tatkala lama bersimpuh atau bersila. Minda juga menghantar isyarat mulai kelam-kelam cuba mengingati sesuatu perkara, tidak lagi seperti dulunya, yang pantas memberi jawapan pada apa saja dek cekapnya akal menghafal dan mengingat. Semua itu adalah tanda2 Allah memberitahu kita bahwa masanya sudah kian hampir untuk kita ‘kembali’. Sewajarnya kita lebih kerap menghisab diri, membaiki mana yang perlu dibaiki, menambah mana yang selama ini terkurang dan menampal mana yang selama ini ‘bocor’.

Semua ini membawa ana kepada pesanan demi pesanan yang pernah dititipkan oleh pak ustaz, mak ustazah, rakan seperjuangan hatta segala macam ‘ibrah dan iktibar yang Allah taburkan buat semua hambaNya yang mahu berfikir. Pernah dalam satu siri kuliah di salah satu program satu ketika dulu, kami dihidangkan dengan tazkirah mengenai sifat taqwa, sifat yang sangat2 dituntut dalam Islam dalam memastikan hidup kita tidak berlalu dengan sia-sia, kerana dalam taqwa itulah, bertakungnya rasa takut kita pada Yang Maha Tahu, Yang Maha Mendengar, Yang Maha Melihat dan Yang Maha segalanya lagi. Takut kita pada Allah membawa kita berusaha mendekatiNya, bukan lari lebih jauh dari Dia. Takut kita pada Allah membawa kita lebih kerap menghisab dan merasa kerdilnya diri, hinanya diri yang ‘kecil’ ini berbanding alam yang cukup luas yang sentiasa dalam zikir kepadaNya. Namun, persoalannya, adakah kita dalam golongan yang sedemikian? Adakah kita merasa takut, dekat dan malu dengan Allah, atau kita terus lalai dan leka dalam kesibukan kita seharian yang banyak menuntut masa dan kudrat kita yang pada hakikatnya kian menguncup?

Antara ciri-ciri orang yang memiliki sifat taqwa, termasuklah
1. muraqabah : yaani sentiasa menyelidiki kekurangan diri dalam beramal saleh, merasai bahwa kita sentiasa dalam pengawasan Allah, sentiasa diperhatikan dan sentiasa dicatit setiap amalan.

2. muhasabah : yaani menghitung banyak sedikitnya amalan yang sudah dilakukan, samada ada atau tidak nilainya di sisi Allah, diterima atau tidak amalannya yang selama ini.

3. mujahadah : yaani giat dalam beramal saleh, berjuang dan berusaha menewaskan hawa nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan dan sia-sia, yang sentiasa menipu kita dengan topeng2 keseronokan dan kerehatan.

4. kedekut dengan pernafasan dan penglihatannya : yaani memastikan tiap kali bernafas dan melihat, mesti ada manafaat untuk agamanya. (Ya Allah, ampunilah hambaMu lalai ini.)

Taqwa yang membawa erti waspada, hati-hati dan teliti itu, sepatutnya menyebabkan kita selalu merasa tak puas hati dengan amalan kita. Kita tak syok sendiri dengan segala yang sudah kita kerjakan, dan kita tak sanggup berlebih kurang dengan dosa dan maksiat. Renungi maksud hadis ini;

Abu Hurairah r.a berkata,Rasulullah saw berucap kepada kami,
“…………………….Apabila saya perintahkan kamu, hendaklah kamu lakukan yang termampu
daripadanya, dan apabila saya melarang kamu dari sesuatu perkara, hendaklah kamu tinggalkannya.”
(Riwayat Muslim)

selain itu juga, kita seharusnya merasa sangat-sangat bergantung kepada Allah swt, kita mengahayati maksud takut dan harap (Khauf wa Raja’)… takut amalan kita ditolak, namun tidak bermakna meninggalkannya, kerana masih tetap berharap Allah dengan segala sifat Maha Pengasih, Penyayang dan Maha PengampunNya itu, menerima kekerdilan diri kita yang serba lemah ini. Kita juga bukanlah dari kalangan mereka yang suka atau asyik berangan-angan kosong, tertipu dengan bisikan syaitan.

Ana seru dan ana mengingatkan diri ana sendiri, untuk menyemak dalam diri supaya dapat kita tergolong dalam kategori bertaqwa:
1. sentiasa merasa takut tidak diterima amalan kita; kerana Allah hanya menerima dari yang benar2 bertaqwa dan ikhlas kepadaNya.
2. Sentiasa takut dan waspada dengan penyakit riya’ kerana Allah ada berfirman dalam Surah Al Baiyinah,

…….. وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ

Mereka tiada diperintah kecuali supaya menyembah kepada Allah dengan tulus ikhlas, agama itu adalah hak Allah….(5)

3. Sentiasa takut dalam penjagaan keselamatan, kerana Allah berjanji sesiapa yang datang membawa hasanat, maka ia memperoleh 10x pahala….dengan syarat, hasanat perlu sampai ke akhirat. Yang ditakuti, hari ini kita melakukan kebaikan, namun esok lusa kita hebahkan dengan niat dan tujuan lain yang tak diterima Allah. Maka akan hilang keikhlasannya di situ.

4. Sentiasa takut hina dalam taat, kerana syaitan sentiasa berusaha merosakkn amalan kita supaya kita muflis bila berdepan dengan Allah swt kelak. Merasa kagum dengan diri dan kehebatan sendiri termasuk dalam salah satu sifat2 mazmumah yang wajib kita hindari.

 

Maka seharusnyalah, kita selalu memohon kepada Allah, kerana hanya dengan kekuatan dariNya, bantuan dariNya dan taufiq hidayah dariNya kita beroleh keselamatan. Berusaha sedaya mungkin mendekatiNya dengan segala kemampuan dan rasa kerendahan diri kita memohon selalu berada dalam penjagaanNya. Tidak ada daya dan kuasa kita melainkan dengan izin dan rahmat Allah jua.

Semuanya mudah diperkatakan, namun perlu pada mujahadah yang istiqamah dalam melaksanakannya. Mudah disebut, mudah dibaca, tetapi sangat susah memperolehi hakikat atau relitinya, walau bagaimanapun, bukanlah sesuatu yang mustahil. segalanya terletak pada hati yang bersih. Sebagaimana maksud sifat wara’ = berhati2, takut melakukan yang syubhat kerana bimbang jatuh pada haram. (Sila rujuk hadis #6 dari Hadis 40, Imam Nawawi), maka renungilah hati kita sendiri, di mana letaknya hati kita dalam mengukur kebaikan/kerosakan seluruh jasad kita.

Ana sudahi tazkirah ana pada pagi Jumaat yang mulia ini dengan satu lagi hadis :

“Seorang hamba tak akan dapat capai tingkat muttaqin sehingga ia meninggalkan apa2 yang tidak
berdosa kerana khuatir terjerumus pada apa yang berdosa.”

Hitung-hitunglah diri dan hati kita sendiri.

Wallahu’alam.

3 thoughts on “Tazkirah di pagi Jumaat

  1. :: PERKONGSIAN ILMU::
    Salam buat seluruh umat Islam..
    Alhamdulillah kte maseh diberi nyawa utk Jumaat ini…
    dan juga utntuk Jumaat seterusnya..
    Amin3.. yrbm.. :Y.

Leave a comment