Kobanna (2)

Diperturunkan di sini beberapa pemerhatian dan penilaian pembentang tentang agenda pembangunan ummah mengikut Imam Al Banna dalam konteks perlaksanaannya di Malaysia.

1. Pemikir dan pejuang bangsa di tanah air perlu menganalisis sejarah dan realiti dalam usaha memahami gambaran sebenar permasalahan umat. Kemelut umat Melayu Islam kini, bukanlah satu isu yang terasing dari gelombang realiti yang berlaku di dunia luar sana, maka menelitinya dari dimensi sejarah adalah satu keperluan yang mampu meletakkan kita di tempat yang tepat untuk memperoleh gambaran yang menyeluruh. Dengan itu, kita tidak lagi dipandu dengan isu, tetapi sebaliknya berupaya duduk di atas dan seterusnya mengemudi agenda kebangkitan semula kekuatan dan kekuasaan umat di rantau ini.

2. Nasib orang Melayu Islam di Tanah air sendiri tidak akan berjaya diubah jika Islam tidak diambil sebagai dasar dan falsafah bagi agenda pembangunan ummah. Jika Melayu dan Islam dipisahkan dalam bab pembangunan ini, bukan kesejahteraan yang diperolehi, malah sebaliknya keadaan akan menjadi lebih gawat dengan pelbagai isu politik, ekonomi dan sosial.

3. Generasi muda adalah merupakan aset terpenting dalam agenda perubahan dan pembangunan ummah. Hanya dengan proses pentarbiyahan dan pendidikan yang mantap sahaja yang dapat melahirkan jiwa-jiwa yang bersemangat waja, rajin berusaha dan kental bila berdepan dengan kesusahan, berdikari dan berusaha merubah sikap serta mempunyai wawasan hidup yang jelas. Semua ini akan menjadi bekalan buat mereka dalam bersaing dengan kaum lain di tanah air sendiri. Budaya hedonism (hiburan) yang ada sekarang, hanya mampu melahirkan generasi yang berjiwa lemah, tidak berdaya saing, sering mengharap bantuan dan tidak berdaya berdikari.

4. Kerangka pemikran Imam Al Banna yang memperkenalkan 20 asas kefahaman sebagai titik persamaan antara sesama muslim dalam memahami Islam adalah satu pendekatan yang tepat dan amat sesuai untuk kesatuan umat Islam sedunia, apatah lagi di Malaysia. Perbalahan dan sengketa dapat dielakkan. Kefahaman yang sahih dan sejahtera tentang Islam adalah faktor kekuatan yang utama dalam memelihara identiti sebagai sebaik-baik umat (Surah Al Imran : 110) yang dikeluarkan Allah, yang tidak mudah luntur keperibadiannya bila berdepan dengan gelombang ideology Barat yang mengganas.

5. Penjelasan Imam Al Banna tentang fahaman nasionalisme Arab dan hubungkaitnya dengan dakwah Ikhwan Muslimin, seharusnya menjadi renungan yang mematangkan umat Melayu Islam di bumi tercinta, bahwa Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan. Kemelut yang berpunca daripada percaturan perebutan kuasa yang rakus, tidak seharusnya meletakkan masa depan nasib orang-orang Melayu Islam dalam situasi yang diperjudikan dan mengorbankan keperibadian negara. (salinan terus dari teks kertas kerja)

Oleh yang demikian, pembentang merumuskan agar manhaj tarbiyah (sistem pendidikan) Imam Al Banna yang telah dilaksanakan dibanyak negara seluruh dunia termasuk Malaysia dapat diteruskan secara serius ke atas seluruh umat Islam di Malaysia. Walau bagaimana pun, kajian lanjut perlu dijalankan dalam beberapa aspek perlaksanaan manhaj ini, lebih-lebih lagi dalam isu penyesuaian budaya dan watak sasaran tempatan, yang kalau tidak dibuat secara serius akan menyumbang kepada kegagalan perlaksanaan agenda pembangunan ummah di Malaysia.

Pembentangan kertas kerja ketiga oleh Ustaz Mohd Fauzi Asmuni yang menyentuh tajuk :

Menilai Kemelut Politik Tempatan Berdasarkan Maqasid Syarak

membawa peserta mengimbau kembali hasil perubahan corak politik di Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke 12, yang secara nyatakan menampakkan ancaman perubahan status quo rakyat Melayu Islam di Malaysia. Rata-rata, ketuanan Melayu dan Islam itu sendiri sudah berani dipertikai dan dicabar oleh non-muslim dari kaum pendatang zaman penjajahan dahulu. Ini membawa kita kepada melihat jalan penyelesaian kepada kemelut ini adalah dengan melihatnya dari sudut maqasid syarak (tujuan syariah).

Maqasid syariah bertujuan menjaga sistem dunia dan mengawal tingkah laku manusia dalam bentuk yang akan memeliharanya dari terjatuh ke dalam mafsadah (kebinasaan), dan ia sepatutnya diukur berdasarkan nas, bukannya akal, kerana akal manusia tidak mampu menyingkap maqasid (tujuan) tanpa panduan nas. Maqasid syariah akan memastikan maslahah (kepentingan) tercapai dan mafsadah (kebinasaan) tertolak pada lima perkara asas bagi manusia iaitu, agama, nyawa, harta, akal dan keturunan, sedangkan ukuran maslahah dan mafsadah pula adalah berdasarkan kepada nas. Inilah yang sepatutnya menjadi landasan politik kita, terutama orang Melayu Islam di Malaysia.

Pembentang seterusnya menjelaskan peranan sebuah negara Islam sebagai wasilah atau alat, bukan matlamat, menurut kefahaman Imam Al Banna. Dalam memastikan matlamat dakwah untuk mewujudkan kehidupan Islam di atas muka bumi ini tercapai, maka sebuah negara Islam menjadi alat yang penting untuk sampai kepada matlamat merealisasikan idealisme Islam secara umum dan politik Islam secara khusus di atas muka bumi ini.. Tiada erti sebuah negara itu diiktiraf sebagai sebuah negara Islam kalau banyak objektif/tujuan syariat terbengkalai. Dan tujuan syariat akan terbengkalai di Malaysia kalau ketuanan Islam dan ketuanan Melayu di bumi Malaysia mulai lebur dan luntur dalam usaha mengambil hati dan memenangi undi kaum pendatang demi kemenangan yang bukan Islami.

Melihat pada situasi di Malaysia, bangsa Melayu sebagai bangsa tonggak negara, harus menyedari bahwa di atas bahu mereka terpikul satu tanggungjawab besar dalam memastikan agama Islam itu sentiasa berada ditempat yang sepatutnya, iaini tempat yang paling tinggi dalam kehidupan manusia. Bangsa Melayu sebagai Bangsa Risalah, perlu memperjuangkan nasib seluruh umat manusia secara amnya, dan umat Islam secara khususnya mengikut neraca ketetapan Tuhan Pencipta alam, Allah swt. Di atas pundak kita bangsa Melayu, terletaknya kewajipan memartabatkan Islam sebagai cara hidup yang lengkap dan sempurna dalam kehidupan setiap muslim agar mereka yang belum beroleh hidayah tetap dapat merasai keagungan hidup di bawah sistem islam.

Pentarbiyahan seperti yang digariskan oleh Imam Al Banna, akan mampu membawa kecemerlangan ummah menerusi contoh tauladan oleh bangsa tonggak yang memikul risalah Islam di bumi Malaysia. Kalau bukan Melayu yang merupakan bangsa tonggak dan majoriti di Malaysia yang juga beragama Islam tidak memartabatkan agama Islam itu sendiri, pada siapa lagi harus kita serahkan tugas memperkasakan Islam di bumi Malaysia. Pernah Saydina Umar r.a mengingatkan umat Islam dizamannya;

Kita semua mulia kerana Islam,

maka secara peribadinya, ana kira tidak salah atau keterlaluan kalau kita berdoa memohon kepada Allah swt supaya kita panjangkan doa tersebut menjadi :

Ya Allah, Muliakan kami dengan Islam dan muliakan Islam dengan adanya kami….

semoga hati kecil kita akan terus peka, alert dan sensitive bila memperkatakan isu-isu kemunduran umat Islam, dan kita akan teruskan langkah memperjuangkan Islam agar nampak jelas kemuliannya di mata semua manusia dek contoh tauladan yang kita pamerkan dari dalam diri kita pada setiap tindakan kehidupan kita sebagai hamba dan khalifahNya di muka bumi.

Ayuh, bangkitlah Melayu dengan Islam. Muliakan Melayu dengan Islam. Bersatulah, demi Islam.

Wallahualam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s