Aku memasak di dapur, suami khusyuk bertahajud…

SKETSA SETIAP RAMADHAN

Oleh: Amatullah Yusuf

                Sejurus bangkit dari lena, saya menuju ke dapur dengan sepasang mata yang hanya separuh terbuka untuk menyiapkan hidangan sahur bagi suami dan anak-anak. Setelah sedikit demi sedikit rasa mengantuk itu hilang, saya mula menangkap suara suami yang sedang membacakan ayat-ayat al-Quran di dalam solat tahajjud sambil menunggu saya selesai menyediakan sahur. Rasa jengkel mula menyelinap masuk ke dalam hati lantaran situasi yang seringkali berlaku ini – malah ketika masa hidangan berbuka pun, suami saya akan menghabiskan detik-detik terakhir hari itu dengan membaca al-Qur’an sedangkan saya di dapur memasak.

                Sungguh, saya merasakan kedamaian ruhani yang sangat indah tika saya dapat menyendiri dalam Qiyamullail, berdoa kepada Allah dan bermunajat kepadaNya serta membaca ayat-ayatNya. Seterusnya azan Subuh dilaungkan dan saya menunaikan solat dengan khusyu’ dan penuh penghayatan, lalu jiwa saya diresapi cas keimanan yang kemanisannya di hati tidak dapat ditandingi oleh apa-apa kebahagiaan pun di dunia ini.

                Akan tetapi apa yang berlaku sekarang ialah: saya menghabiskan masa-masa paling berharga dan masa-masa lain dalam bulan Ramadhan yang dicintai ini…di dapur!

                Benar, saya tahu sekiranya niat saya lurus dalam berkhidmat kepada suami dan anak-anak, sekiranya khidmat itu kerana Allah dan sebagai mencontohi perintah Rasulullah dalam sabda Baginda: “dan seorang wanita merupakan pemimpin di dalam rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya”, maka segala usaha saya ini merupakan ibadah kepada Allah SWT. Jikalau begitu, kenapa saya tidak merasakan kedamaian ruhani yang indah dan cas keimanan yang meresap setelah saya melaksanakan ibadah tersebut? Bukankah berkhidmat kepada suami dan anak-anak juga merupakan ibadah, sama seperti khusyu’ di dalam solat dan Qiyamullail?!

                Malah sesungguhnya jika saya melaksanakan kewajipan-kewajipan rumahtangga dengan penuh kasih sayang dan lapang dada dengan niat menggembirakan ahli keluarga , tindakan saya itu tergolong di antara amalan yang paling disukai oleh Allah. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawasanya seorang lelaki telah datang bertemu dengan Nabi s.a.w lalu berkata: “Wahai Rasulullah, manusia manakah yang paling disukai Allah dan amalan apakah yang paling disukai Allah?” Jawab Baginda s.a.w: “Manusia yang paling disukai Allah ialah yang paling bermanfaat kepada manusia lain, dan amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang kamu masukkan ke dalam hati seorang Muslim”.

                                Tiba-tiba, di dapur ini, mata saya mula berbinar… Memang benar, saya masih dalam keadaan beribadah (walaupun tidak bersama) ketika suami meluangkan masa untuk mendirikan solat malamnya; kerana saya berusaha menyediakan makanan untuknya bersahur, maka saya akan berkongsi pahala solat suami saya insyaAllah. Malah ada kemungkinan sebenarnya ibadah yang saya lakukan ini lebih payah, yaitu bertahan dalam kepanasan dapur demi berkhidmat kepada suami dan anak-anak, sedangkan adalah lebih mudah untuk berdiri bertemankan kipas atau alat hawa dingin dan menikmati bacaan al-Qur’an serta menghayatinya.

                Saya terkenang kata-kata seorang Mujahid kepada saudaranya yang tekun beribadah di Masjidil Haram:

                Wahai ‘Abid (ahli ibadah) dua tempat suci (Makkah dan Madinah), andai saja kamu melihat kami,

                Maka kamu akan menyedari bahawa kamu dengan ibadah kamu itu seakan hanya bermain-main (bersukaria).

                Barangsiapa yang pipinya memerah dengan linangan airmatanya,

                Maka (lihatlah) leher-leher kami, dengan darah ia menjadi merah.

                Di sini, di dapur ini, saya berpenat lelah, terbongkok-bongkok dan berpeluh menyiapkan makanan yang memberikan tenaga untuk suami dan anak-anak melaksanakan ibadah puasa dan Qiyamullail…maka insyaAllah, segala ibadah mereka itu ada sahamnya dalam timbangan amal kebajikan .

                Sungguh, saya sebenarnya boleh merasa kemanisan keimanan dan ketinggian ruhani walaupun saya hampir ditenggelami peluh dalam kepanasan dapur dan kepanasan cuaca ketika menyediakan makanan berbuka bagi tetamu-tetamu saya dengan niat menyambung silaturrahim dan memberi makan orang berpuasa – sesungguhnya setiap kali bertambah lagi kepayahan yang harus saya tanggung demi kerana Allah, setiap kali itulah saya merasa semakin bahagia!

                Jika seorang remaja perempuan yang pulang dari solat terawih bingkas membantu ibunya dengan niat berbakti kepadanya dengan membantunya membersihkan dapur atau bilik air, tidak layakkah remaja itu merasai kemanisan iman dan ketinggian ruhani persis yang dirasakannya setelah menunaikan solat tahajjud pada malam tersebut? Malah bukankah dia boleh bertawassul dengan tindakannya tadi dalam doanya, seperti tawassul tiga orang lelaki yang terperangkap di dalam gua dengan sebongkah batu menutup jalan untuk keluar, lalu mereka telah bertawassul dengan keikhlasan mereka dalam mengerjakan amal soleh.

                                Ini bukanlah seruan untuk meninggalkan ibadah-ibadah khusus dan melalaikannya kerana terlalu sibuk dengan kerja-kerja rumah, akan tetapi ia merupakan seruan agar meluruskan niat dan memperhitungkan ganjaran di sisi Allah SWT.

                Sebenarnya jika saya menyusun masa saya sedikit sahaja, saya mempunyai masa yang cukup untuk menyelesaikan penyediaan makanan berbukasebelum maghrib, lalu duduk bersama-sama dengan suami dan anak-anak untuk sama-sama kami berdoa kepada Allah sebelum azan maghrib berkumandang… Alangkah indahnya detik-detik itu jikalau setelah saya berjaya menunaikan kewajipan-kewajipan yang menjadi tanggungjawab saya, saya langsung duduk menunaikan hak Tuhan saya pula.

                Begitu juga ketika sahur, bibir saya sepatutnya tidak lekang dari beristighfar ketika memasak, supaya saya turut tergolong di antara “golongan yang beristighfar sebelum terbit fajar” (yaitu al-mustaghfirina bil-ashar dari ayat 17 Surah Ali ‘Imran-pent).

(Petikan di atas adalah merupakan tazkirah yg ana terima dalam emel ana, yg ana rasa sgt2 berfaedah utk dikongsi. Mudah2an dapat dimanafaatkan bersama, dan pahala buat sipenulis asal dan mereka yg menghebahkannya utk kebaikan semua. Ameen)

One thought on “Aku memasak di dapur, suami khusyuk bertahajud…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s